KUALA LUMPUR 19 Dis.- Keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan tugas sebagai Presiden parti itu membuktikan beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa besar.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan tersebut juga membuktikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerima suara akar umbi dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
“Wanita UMNO menghargai jasa dan pengorbanan Ahmad Zahid sepanjang perkhidmatannya bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN). Beliau telah memberikan sumbangan yang besar bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada negara.
“Wanita UMNO berharap mandat yang diberikan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas Presiden akan menghasilkan kepemimpinan yang jitu dan memastikan kelangsungan serta kestabilan UMNO dapat dikekalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, tambah Noraini, pimpinan UMNO di pelbagai peringkat kini dituntut memberikan perhatian serius bagi membangunkan semula UMNO, merawat dan memulihkan wibawanya.
“Apa yang paling utama pada waktu ini adalah kesetiaan dan keikhlasan setiap ahli untuk melakukan perubahan agar sisa-sisa perjuangan yang masih ada boleh dijadikan landasan bermakna di dalam memulihkan UMNO,” katanya.-UTUSAN ONLINE.










