HASRAT skuad Harimau Malaya mengukir sejarah menjulang trofi Piala AFF Suzuki buat kali kedua tidak kesampaian selepas tewas kepada Vietnam dengan keputusan agregat 2-3 dalam aksi final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi semalam.
Misi sukar pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu untuk mengejutkan Vietnam nampak sukar khususnya apabila skuad Naga Emas itu berjaya meraih keputusan seri 2-2 dalam final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa lepas.
Ia terbukti apabila Vietnam menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri apabila meraih gol awal menerusi penyerang veteran, Nguyen Ahn Duc yang berjaya menyudahkan hantaran lintang Nguyen Quang Hay pada minit ke-6.
Enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal, hampir 40,000 penyokong tuan rumah terdiam apabila skuad Malaysia mula mendapat rentak tetapi gerakan serangan pada minit ke-11 gagal disudahkan oleh Mohamadou Sumareh.
Malaysia memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama hasil rembatan deras pemain pertahanan muda, Syahmi Safari tetapi percubaannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam, Dang Van Lim.
Bersambung pada babak kedua, skuad negara meneruskan momentum apabila meraih peluang untuk menjaringkan gol penyamaan hasil tandukan Sumareh tetapi Van Lim sekali lagi muncul wira skuad Naga Emas.
Kedua-dua pasukan kemudian saling menguasai perlawanan tetapi serangan skuad tuan rumah lebih tajam apabila hampir menambah gol menerusi Quang Hay tetapi berjaya dinafikan oleh penjaga gol berpengalaman negara, Farizal Marlias.

Harapan negara untuk mencipta kejutan tidak kesampaian selepas pengadil perlawanan, Alireza Faghani meniupkan wisel perlawanan sekali gus menghadiahkan kemenangan 1-0 buat pasukan Vietnam. – K! ONLINE










