ABM lahir 400,000 tenaga kerja mahir tempatan - Utusan Malaysia

ABM lahir 400,000 tenaga kerja mahir tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Kira-kira 400,000 tenaga kerja mahir dan separa mahir tempatan berjaya dilahirkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) sejak pusat penilaian dan latihan di bawah kendalian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia itu ditubuhkan bermula tahun 1997.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, sejak tahun tersebut CIDB memberi peruntukan sebanyak RM700 juta untuk memperkasakan pelatih dan personel binaan tempatan menerusi aBM.

“Selain daripada kursus-kursus yang ditawarkan ABM, CIDB juga melaksanakan program perantisan untuk mengukuhkan lagi latihan kemahiran yang ditawarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, CIDB telah memperuntukan lebih RM9.6 juta untuk membiayai seramai 2,146 personel binaan di dalam program ini,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Graduasi pelatih-pelatih ABM Wilayah Tengah di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir.

Pada majlis berkenaan, seramai 2,010 pelatih mahir diiktiraf kerana berjaya menamatkan kursus-kursus di ABM Wilayah Tengah sekali gus menerima Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) CIDB.

Dalam pada itu, jelas Ahmad ‘Asri, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menuju ke arah ekonomi berasaskan produktiviti dan maju, ABM akan mempersiapkan kesemua peserta tempatan untuk berjaya dalam kerjaya binaan masing-masing.

“Menerusi kewujudan tenaga kerja tempatan yang terlatih dan diakreditasi di Malaysia, secara tidak langsung turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Ini selaras dengan teras strategik produktiviti di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×