PETALING JAYA – Polis menahan lima lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan seorang pengurus premis hiburan maut akibat ditetak di hadapan sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kesemua lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.
“Kesemua mereka akan di bawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini bagi permohonan perintah reman kerana terbabit kes kekerasan jenayah bersabit pergaduhan yang menyebabkan seorang pengurus premis hiburan maut.
“Polis percaya, lima individu bersama tiga yang ditahan dapat membantu siasatan kes pergaduhan itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang pengurus pusat hiburan berusia 28 tahun maut akibat ditetak dengan parang selepas diserang sekumpulan lelaki yang menaiki empat buah kenderaan jenis Perodua Myvi, Honda HRV, Volkswagen Golf dan Toyota Camry.
Susulan kejadian itu, semalam polis menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 31 tahun untuk membantu siasatan termasuk merampas empat buah kenderaan. – K! ONLINE










