40 lagi murid di Kemaman terima bantuan EPIC - Utusan Malaysia

40 lagi murid di Kemaman terima bantuan EPIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 17 Dis. – Seramai 40 lagi murid dari keluarga kurang berkemampuan di daerah ini menerima kelengkapan persekolahan bernilai RM500 setiap seorang sumbangan anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), semalam.

Mereka merupakan kalangan murid terpilih dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Ranggon dan SK Seri Kemaman sekali gus menjadikan keseluruhan penerima di Kemaman adalah 80 orang termasuk kumpulan pertama seramai 40 orang pada 19 November lalu.

Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili di Dewan Pusat Latihan Darul Iman (DITC) Teluk Kalong.

Yang hadir sama, Pengurus Besar Perancangan Korporat, Komunikasi, Pembangunan dan Projek Khas EPIC, Abdul Azim Abdul Hamid.

Program di bawah tanggungjawab sosial korporat EPIC yang dimulakan pada tahun 2009 itu digerakkan sebagai salah satu komitmen syarikat dalam membantu masyarakat dalam pelbagai bidang, khususnya menambahkan kegembiraan buat murid di samping kelegaan bagi ibu bapa sementelahan pada musim hujan yang berlarutan kini.

Sumbangan dan bantuan itu diharap akan menjadi motivasi dan dorongan buat golongan sasar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan seperti yang diharapkan oleh setiap ibu bapa dan guru.

Sementara itu, seorang murid SK Seri Kemaman, Nurul Asyurahuda Mohd. Sukri, 11, berterima kasih atas keprihatinan EPIC menghadiahkan kelengkapan persekolahan sebelum dia dan rakan-rakan melangkah ke sesi persekolahan 2019.

Anak kelima daripada enam beradik ini berkata, dia seronok dapat memilih sendiri pakaian untuk dirinya dan cukup teruja untuk melangkah ke tahun enam.

“Abah meninggal empat tahun lepas, saya harap saya dapat jadi seorang guru untuk tolong emak, Wan Jamaliah Wan Tajuddin yang bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN