25 ‘dinosaur’ menanti anda - Utusan Malaysia

25 ‘dinosaur’ menanti anda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 20 Dis. – Sempena cuti persekolahan ini, pastinya ibu bapa tertanya-tanya di mana lokasi ideal untuk membawa anak-anak beriadah.

Bagi yang tidak ingin pergi jauh dan mengeluarkan modal besar, apa kata bawa anak-anak melihat 25 animatronik haiwan prasejarah dinosaur di Dinosaur Kingdom, The Prehistoric Harbour di Puteri Harbour di sini.

Bertemakan era Jurassic, Dinosaur Kingdom pastinya menguja pengunjung khususnya kanak-kanak yang meminati dinosaur kerana dapat ‘kembali’ ke era prasejarah.

Dibuka untuk kunjungan ramai sejak 18 November lalu hingga 1 Januari ini dengan waktu operasi bermula pukul 12 tengah hari hingga 10.30 malam setiap hari kecuali Isnin.

Pelbagai aktiviti menanti pe­ngunjung antaranya pertunjukan secara langsung dinosaur antaranya jenis therizinosaurus dengan ketinggian enam meter.

Bagi mereka yang inginkan cabaran, boleh mencuba Raptor Maze yang mana anda perlu mencari kunci tersembunyi untuk melepaskan diri, namun harus berwaspada dengan raptor yang mungkin menyergah anda tanpa disedari.

Panggung 5D turut disediakan bagi pengunjung yang ingin menonton pengembaraan liar dinosaur Rexy selain merasai sendiri pengalaman menunggang dinosaur.

Selain aktiviti berbentuk hiburan, pe­­nganjur turut me­nyediakan sebuah khemah Hub Pendidikan bagi membolehkan pengunjung untuk mengenali dinosaur secara lebih mendalam.

Aktiviti lain yang turut disediakan termasuklah jejak baby dinosaur, drift island, sarang pterosaur, fossil dive dan the swap.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif The­mepaktu Sdn. Bhd., Shas Fong berkata, Puteri Harbour me­rupakan destinasi ketiga taman hiburan bergerak itu selepas Semenyih dan Su­ngai Buloh, Selangor pada Jun dan Ogos lalu.

Katanya, bilangan tertinggi pengunjung yang pernah dicatat menerusi penganjuran berkenaan adalah berjumlah 75,000 orang.

Bagaimanapun pihaknya ti­dak mempunyai sasaran pe­ngunjung bagi penganjuran di Puteri Harbour berikutan yakin sambutan orang ramai bergantung kepada keadaan cuaca.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai Dinosaur Kingdom termasuk harga tiket boleh melayari laman Facebook Themepaktu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN