NEW YORK 1 Dis. – Seorang bekas pegawai di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) semalam, mengaku bersalah atas dakwaan melanggar peraturan perbankan dalam cubaan mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa negara ini berhubung skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
DoJ menerusi satu kenyataan berkata, George Higginbotham, 46, mengaku berbohong kepada beberapa bank di negara ini ketika membuat transaksi berjumlah jutaan dolar untuk membiayai kempen bagi pihak Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Selain itu, Higginbotham juga mengaku mengeluarkan dokumen pinjaman dan mengadakan rundingan palsu bagi menyembunyikan sumber sebenar dana.
Jho Low sehingga kini masih gagal dikesan dan beliau didakwa dalang dalam skandal 1MDB.
Pendakwa raya persekutuan pada Ogos lalu mendakwa Jho Low yang kini dalam buruan dengan lapan pertuduhan pengguba- han wang haram.
Beliau dituduh membantu penyelewengan wang berjumlah AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) daripada 1MDB.
DoJ sebelum ini mendedahkan bahawa tujuan sebenar dana dalam 1MDB adalah untuk membiayai kempen melobi kerajaan AS bagi menyelesaikan kes-kes jenayah sivil yang berlaku dalam skandal syarikat pelaburan tersebut.
Selain itu, ia juga bagi menyakinkan pihak berkuasa AS untuk menghantar pulang seorang warga asing ke negara asalnya.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa, Higginbotham yang berkhidmat sebagai pegawai perhubungan antara DoJ dan ahli politik negara ini sehingga Ogos lalu tidak terlibat dalam siasatan 1MDB, selain ‘gagal mempengaruhi mana-mana aspek’ dalam skandal terbabit.
Dalam perkembangan lain, DoJ menyatakan bahawa jabatan berkenaan dalam proses untuk mendapatkan semula wang bernilai AS$73 juta (RM305 juta) yang disekat dalam beberapa akaun bank di negara ini.
Kesemua akaun bank tersebut disahkan dibuka oleh Higginbotham dan Prakazrel ‘Pras’ Michel bagi pihak Jho Low. – AFP










