SUNGAI PETANI: Dua lelaki yang bertindak sebagai orang suruhan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Khairul Helmy Abd. Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengganggu serta melakukan ugutan terhadap peminjam.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengganggu seorang lelaki dengan menyimbah cat merah ke atas kereta Proton Iswara milik mangsa di Taman Sri Putra, kira-kira pukul 3.30 pagi, pada 14 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengganggu mangsa lain dengan menyimbah cat kuning ke atas sebuah kereta Naza Forte dan pintu pagar rumah mangsa di Taman Berjaya, kira-kira pukul 5.30 pagi, 21 April lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(B)(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara lapan bulan terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama. Mereka boleh dipenjarakan selama tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-duanya dikenakan denda RM10,000 dan penjara 10 bulan, selain berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hazwani Md. Noor, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Farahin Saad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – UTUSAN










