13 suspek ditahan dipercayai terlibat kegiatan ahlong - Utusan Malaysia

13 suspek ditahan dipercayai terlibat kegiatan ahlong

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seramai 13 suspek di sekitar negeri ini dan Perak semalam dipercayai terlibat dengan kegiatan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani dan membanteras kegiatan ahlong secara berterusan di Pulau Pinang.

“Sejumlah 28 pasukan terdiri daripada 112 pegawai dan anggota polis telah ditubuhkan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.

”Sehingga semalam, seramai 13 suspek telah ditangkap di sekitar negeri ini dan Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Kok Chin menegaskan, beliau dan seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram yang menyalahi undang-undang.

Ia susulan surat ugutan yang diterima beliau baru-baru ini yang memberi amaran supaya beliau tidak mengganggu urusan kumpulan ahlong di Pulau Pinang.

Difahamkan, Ketua Polis Pulau Pinang itu menerima surat itu yang dihantar ke pejabatnya di ibu pejabat Kontijen Polis Pulau Pinang di sini, Khamis lalu.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes menghantar surat amaran serta melakukan ugutan jenayah terhadap Kok Chin terbabit.

Menurut Kok Chin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

”Operasi besar-besaran memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang haram ini akan dilakukan secara berterusan.

“Pihak polis juga tidak akan berkompromi terhadap kumpulan ahlong yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya