Lelaki jadi budak suruhan ahlong ditangkap - Utusan Malaysia

Lelaki jadi budak suruhan ahlong ditangkap

MOHD. Yusri Hassan Basri (dua dari kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas dalam tangkapan melibatkan seorang lelaki yang terlibat dalam sindiket ah long dalam sidang akhbar di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ bagi melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah, diberkas polis semalam.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang menerima upah RM1,000 untuk setiap tugasan khianat dengan api dan simbah cat ditangkap di sekitar Sentul di Kuala Lumpur, kelmarin.

Suspek menerima upah melakukan jenayah itu daripada sindiket ah long berpengkalan di Singapura.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan siasatan, suspek sebelum ini pernah menjadi peminjam sindiket berkenaan namun ditawarkan menjadi ‘budak suruhan’ selepas gagal melangsaikan hutang.

Katanya, suspek diarah melakukan khianat ke atas harta benda milik penghutang atau keluarga sebagai amaran sekiranya gagal menyelesaikan hutang pinjaman dan faedah.

“Suspek akan merakam perbuatannya dan menghantar video sebagai bukti sebelum upah dibayar ke dalam akaun bank peribadinya melalui perbankan dalam talian.

“Berdasarkan siasatan, suspek mengaku terlibat dengan 13 kes khianat di Kontinjen Perak melibatkan kerugian harta benda dibakar dan rosak disimbah cat dianggarkan antara RM500,000 ke RM700,000,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, suspek juga didapati terlibat dalam kes khianat di kontinjen Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod lampau turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketika tangkapan dibuat, kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira, beberapa keping nota ugutan, telefon bimbit, beberapa tong mengandungi bahan bakar dan cat merah serta pakaian.

“Suspek direman sehingga Ahad ini untuk disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya