38 suspek termasuk 4 wanita dipercayai anggota sindiket ahlong ditahan polis - Utusan Malaysia

38 suspek termasuk 4 wanita dipercayai anggota sindiket ahlong ditahan polis

KHAW Kok Chin memeriksa barisan sewaktu mengadakan lawatan kerja ke IPD Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seramai 38 suspek dipercayai ahlong dalam operasi khas yang dijalankan bermula 5 Jun lalu bagi membanteras aktiviti pinjaman wang tidak berlesen di negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek termasuk empat wanita itu ditahan di sekitar Pulau Pinang dan negeri jiran.

Jelas beliau, kesemua suspek berumur antara 21 dan 72 tahun dan mereka ditahan dalam operasi khas yang dijalankan bermula 5 Jun lalu sehingga semalam.

“Kebanyakan tangkapan dibuat di Pulau Pinang, bagaimanapun terdapat beberapa tangkapan yang dibuat di negeri jiran selepas mereka melarikan diri,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihak polis sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Kok Chin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius tindakan ahlong yang berani mencabar serta mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

Surat layang tersebut yang ditujukan kepada Kok Chin dimasukkan di dalam sampul surat dan diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

Menurut Kok Chin, kesemua 38 suspek yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Dalam pada itu, ditanya sama ada suspek-suspek yang ditahan itu terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap beliau, Kok Chin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka.

“Kita sedang menyiasat sama ada mereka terlibat, cuma apa yang saya boleh maklumkan, kita ada modus operandi untuk mengesan (ahlong) yang terlibat dengan ugutan jenayah ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya