PETALING JAYA: Pelakon, Datin Atikah Suhaime meluahkan rasa bersyukur selepas bapa mentuanya memberi keizinan untuk pindah rumah dan tinggal berasingan bersama keluarga kecilnya.
Atikah berkata, meskipun perkara itu sudah lama diimpikan sejak berkahwin, dia tetap berasa berat hati untuk menjalani kehidupan secara berdikari bersama suami, Datuk Lokman Teh dan anaknya, Lyla Mulan Teh.
“Akhirnya papa mentua bagi pindah rumah sendiri dengan suami. Sepatutnya gembira sebab ini yang ditunggu sejak kahwin, mahu rumah minimalist semua, tetapi kenapa saya berbelah bagi?,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Atikah bagaimanapun mengakui sebelum ini dirinya selesa tinggal bersama keluarga mentua kerana tidak perlu terlalu mengambil pusing tentang pengurusan rumah tangga.
“Sebenarnya duduk bersama mentua paling syurga (menyeronokkan) tidak perlu fikir semua. Terasa gemuruh mahu berdikari dengan suami. Tetapi saya percaya kami boleh lakukannya,” katanya.
Tambah pelakon itu, dia mahu berpindah kerana mahu memberikan keselesaan terhadap puteri kesayangannya yang kini semakin membesar.
“Saya pindah sebab Mulan membesar. Mahu bilik sendiri. Rumah mentua ada 10 orang. Sudah tiada ruang,” ujarnya.
Untuk info, Atikah dan Lokman mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2024 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Lyla Mulan Teh.
Sejak berkahwin, pelakon itu dilihat seronok tinggal bersama keluarga mentua, selain kerap berkongsi momen dirinya menyediakan makanan buat seisi rumah.










