Yapeim komited teroka potensi CEG - Utusan Malaysia

Yapeim komited teroka potensi CEG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) terus meluaskan peranannya sebagai institusi pembangunan sosio ekonomi utama melalui penubuhan Pusat Baharu Pertumbuhan Ekonomi (CEG) di 100 penempatan nelayan di seluruh negara.

Projek terbaharu yang bakal dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula awal tahun depan itu menyasarkan golongan B40 dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kebajikan masyarakat selaras dengan misi Yapeim membangunkan ummah.

Wartawan Utusan Malaysia, NIK HAFIZUL BAHARUDDIN menemubual Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, DATUK ABIBULLAH SAMSUDIN untuk mengetahui secara lebih terperinci usaha pembangunan yang digerakkan oleh Yapeim.
 

UTUSAN MALAYSIA: Terangkan inisiatif terbaharu Yapeim melalui CEG?

ABIBULLAH SAMSUDIN: CEG akan dilaksana bermula awal tahun depan sehingga akhir 2019. Usaha itu melibatkan 100 lokasi nelayan di seluruh negara iaitu 50 di Semenanjung, 20 di Sabah dan 30 di Sarawak. Buat masa ini, CEG telah diperkenalkan di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah.

Projek ini diwujudkan melalui kerjasama strategik antara Yapeim, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pos Malaysia Berhad dan Petro Teguh.

Tumpuan utama diberikan pada kawasan penempatan nelayan kerana matlamat asalnya untuk membekalkan petrol dan diesel kepada golongan itu me­lalui pembinaan Petrol Kiosk.

CEG diharap akan menjadi tarikan dan pusat perniagaan baharu kepada golongan nelayan dan penduduk setempat.

Matlamat utama CEG?

Projek ini bertujuan membantu nelayan, penduduk setempat dan golongan sasar B40 yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.

Selain menjana dan mening­katkan pendapatan, CEG juga diharap dapat mengurangkan kos dan memudahkan urusan perniagaan mereka melalui beberapa usaha seperti pembekalan minyak dan diesel, pembelian dan pemasaran ikan di samping menangani masalah hutang melalui pelaksanaan sistem gadaian emas.

Selain itu, CEG juga membantu usahawan setempat yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk memasarkan produk mereka di Yapeim SMart dan ke luar kawasan melalui penghantaran pos.

Matlamat CEG juga adalah mengurangkan harga barang pada kadar terendah kerana ia tidak melalui orang tengah.

Apabila harga lebih murah, permintaan akan meningkat dan kos sara hidup masyarakat dapat dikurangkan.

Komponen utama diwujudkan dalam CEG?

Terdapat empat komponen utama iaitu Petrol Kiosk, Ar-Rahnu Akses, Kaunter Pos dan Yapeim SMart iaitu kedai berkonsep serbaneka.

Ar-Rahnu Akses pula per­khid­matan gadaian emas bagi mengelak golongan nelayan daripada berhutang dengan orang tengah atau saluran tidak sepatutnya. Kami juga akan mewujudkan Pos Mini untuk memberi peluang kepada usahawan IKS memasarkan produk ke luar kawasan menggunakan penghantaran pos.

Selain itu, Yapeim SMart yang dibina menggunakan kontena bersaiz 40 kaki juga disediakan untuk menjual pelbagai bara­ngan termasuk produk IKS.

Kami juga akan menempatkan pusat IKS dan pusat pembungkusan bahan-bahan seper­ti ikan kering, ikan masin, ikin bilis dan udang kering. Melalui cara itu produk boleh terus diedar ke kedai runcit di seluruh negara dengan harga murah. Di sebelah pusat pembungkusan pula akan ditempatkan mesin pengering yang diiktiraf bersih dan halal.Mesin ini adalah sebagai alternatif bagi menggantikan kaedah menjemur di bawah cahaya matahari.

Kemudahan terpenting dalam projek ini adalah kontena penyejuk bersaiz 40 kaki yang mampu menyimpan bahan makanan sebanyak 25 tan.

Setiap kawasan akan mempunyai sekurang-kurangnya dua kontena. Secara total, kita boleh menyimpan sebanyak 5,000 tan ikan di 100 lokasi CEG.

Terangkan mengenai konsep Petrol Kiosk?

Petrol Kiosk menggunakan konsep Sistem Kontena Mudah Alih (PCS) yang berkeluasan 20 kaki panjang. Di dalamnya berisi petrol dan diesel yang dibekalkan oleh Petronas. Minyak tersebut membolehkan nelayan membelinya pada harga subsidi menggunakan baucer dikeluarkan oleh LKIM.

Harapan terhadap CEG?

Paling penting adalah untuk membantu golongan B40, nelayan dan penduduk setempat dengan membeli hasil tangkapan mereka dan memasarkannya ke kawasan seperti Lembah Klang pada harga yang jauh le­bih murah. Mungkin bawah harga RM10 bagi ikan-ikan biasa. Ini juga usaha mengurangkan kos sara hidup masyarakat kota kerana penduduk Lembah Klang pada waktu ini dibebani harga ikan yang terlalu mahal.

CEG adalah projek kelompok pertama yang memfokuskan kawasan nelayan dan sekiranya berjaya, kami akan laksanakannya di kelompok seterusnya dengan tumpuan utama di kawasan pedalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN