HUJAN lebat tanpa henti bermula pukul 4.30 petang dan berakhir subuh keesokan harinya mencetuskan kebimbangan. Tentu sahaja laluan becak, berlumpur dan licin. Hujan lebat juga menyebabkan kepala air merempuh aliran Sungai Loh sehingga paras air meningkat menghampiri tapak perkhemahan.
Bubu yang dipasang oleh seorang peserta turut dihanyutkan arus deras. Bunyi aliran air agak menakutkan. Air sungai masih belum jernih ketika kami meninggalkan tapak perkhemahan Sungai Loh pada pukul 11 pagi, 14 Oktober 2018.
Perjalanan pulang yang dijangka mencabar menjadi sebaliknya. Agak aneh melihat jalan balak yang ditempuh dua hari lalu kering seperti tidak pernah ditimpa hujan! .
Namun tidak sampai satu jam meninggalkan Sungai Loh, sebuah jentera 4×4 dari Johor tersangkut di laluan lubang air. Winch digunakan untuk menarik kenderaan keluar, tetapi apabila selesai, muncul pula cabaran lain.
Sebuah jentera 4×4 dari Terrano Club Malaysia (TCM) tidak dapat meneruskan perjalanan kerana steering rod patah. Justeru, kerja-kerja mengimpal dilakukan menggunakan tiga bateri.
Ketua program, Azman Said, 53, berkata, memandangkan set kimpalan tidak ada maka alternatif lain yang boleh digunakan adalah menggabungkan tiga biji bateri yang berfungsi sebagai set tersebut.
“Kerja-kerja ini makan masa sikit. Mesti kena betulkan juga. Kalau tidak…, kenderaan terbabit akan tersadai di tepi jalan.
“Welding pun untuk sementara waktu sahaja. Nanti bila dah keluar hutan, kena bawa ke bengkel juga,” katanya.
Mengenai aktiviti TCM, katanya dalam setahun pihak kelab mengatur sekurang-kurangnya tiga aktiviti perkhemahan keluarga.
Pada tahun ini, aktiviti yang telah dijalankan adalah Kemboree Pasir Raja pada Julai lalu, Telemong (April) dan Sungai Loh (Oktober).
“Pihak kami ada cadangan nak buat trip overland ke Thailand pada tahun hadapan. Perbincangan lanjut sedang dilakukan dan harap ia jadi kenyataan,” katanya.










