PARIT 25 Nov. – Seorang wanita warga emas berputih mata apabila kerugian RM219,000 setelah menjadi mangsa penipuan dua lelaki dalam urusan pembelian jongkong emas palsu pada Februari lalu.
Wanita berusia 62 tahun dari Titi Gantong, Bota itu mendakwa mengenali dua suspek terbabit menerusi rakan sekampungnya dan membeli emas berkenaan daripada salah seorang lelaki yang mendakwa memiliki kilang emas di Pahang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, urusan jual beli emas itu bermula apabila lelaki yang mendakwa mempunyai kilang emas di Pahang itu memerlukan wang segera dan mahu menjual emas seberat tujuh kilogram (kg) kepada wanita terbabit.
Katanya, mangsa yang juga seorang peniaga itu kemudiannya membeli emas seberat 2.5 kg dengan harga RM54,000 daripada lelaki tersebut.
“Selepas dua hari, dua suspek tersebut datang semula ke rumah mangsa dan menjual 2.2 kg emas lagi dengan harga RM48,000 dan diikuti jualan lapan kg emas berharga RM171,000, tiga hari kemudian.
“Pembelian emas keseluruhan dengan berat 12.7 kg berjumlah RM273,000 itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang bukti pembayaran mahupun dokumen perjanjian dan hanya disaksikan oleh rakan sekampung wanita itu,” katanya.
Menurut Mohamad Zainal, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah meminta rakannya membuat pemeriksaan bagi mengesahkan ketulenan emas berkenaan di sebuah kedai emas di Ayer Tawar, Sitiawan.
Katanya, pemeriksaan itu kemudiannya mendapati emas tersebut adalah palsu dan mangsa telah memaklumkan perkara itu kepada dua suspek terbabit dengan meminta mereka mengambil semula emas berkenaan seterusnya memulangkan pembayaran yang telah dibuat.
“Suspek datang bertemu mangsa dan mengambil semula emas serta memulangkan wang sebanyak RM54,000. Bagaimanapun, emas seberat lapan kg tidak diambil dan berjanji akan menyerahkan baki wang RM219,000 dalam masa terdekat.
“Mangsa yang menyedari telah ditipu setelah baki wang tersebut tidak dikembalikan membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, polis meminta saksi iaitu dua lelaki yang dikenali sebagai Abdullah Ali, 43, dan Meor Zamil Meor Ahmad Sam, 33, tampil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











