Wanita Muslim Myanmar pecahkan tradisi - Utusan Malaysia

Wanita Muslim Myanmar pecahkan tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBIL membetulkan hijab dan memandang sekeliling kelas, Dr. Thet Su Htwe memulakan sesi pembelajaran dengan bertanyakan satu soalan mudah kepada pelajarnya.

“Siapa yang ingin belajar berkenaan seksual manusia?” tanya beliau semasa mengendalikan sebuah kelas di Yangon, Myanmar, baru-baru ini.

Ramai pelajarnya yang angkat tangan, ada juga menunjukkan rasa malu-malu.

Di negara itu yang hingga kini masih berdebat mencari perkataan sesuai untuk ‘faraj’ dan bercakap tentang seks dianggap satu larangan, tetapi Htwe telah memecahkan hadangan tersebut.

Wanita Muslim berusia 35 tahun tersebut adalah antara guru warga Myanmar yang mengetuai kalangan tenaga pengajar dalam bidang pendidikan seksual.

Beliau mengembara ke seluruh negara bagi mengajar subjek yang merangkumi aspek rangsangan seksual, haid dan orientasi seksual. Usaha doktor terlatih tersebut dilakukan di bawah organisasi pimpinannya, Strong Flowers sejak 2016 lagi.

Di Myanmar seperti mana negara lain di Asia Tenggara, pendidikan seksual adalah mata pelajaran yang jarang diajar di sekolah.

Jadi, Htwe mengajarnya kepada semua orang tanpa mengira umur, iaitu dari remaja hinggalah yang berusia 60-an dan beliau juga turut diupah oleh beberapa syarikat untuk mengendalikan kelas bagi kakitangan mereka.

“Ramai wanita muda belajar perkara itu (seksual) daripada emak saudara atau ibu masing-masing tetapi ia sangat jarang berlaku dan jika ada pun, terdapat banyak salah maklumat,” katanya. 


KECEMASAN YANG DISENYAPKAN

Kelas tersebut turut membincangkan perkara-perkara lain seperti hak wanita dan beberapa isu sensitif, termasuklah keganasan berasaskan jantina.

Menurut Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), keganasan terhadap wanita disifatkan sebagai ‘kecemasan yang disenyapkan’ di Myanmar.

Ini kerana ia dianggap sebagai satu ciri yang diterima umum dan dalam masa sama sistem perundangan negara itu gagal mewujudkan satu persekitaran selamat untuk kaum wanita.

Ia mungkin bertepatan jika berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Sukan dan Kesihatan pada 2017 dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amerika Syarikat (AS), International Coaches Federation.

Dianggarkan 17 peratus wanita berkahwin yang berusia di antara 15 hingga 49 tahun melalui pengalaman didera secara fizikal dan seksual oleh pasangan mereka.

Tetapi pakar menyatakan bahawa angka itu kemungkinan besar lebih tinggi kerana ramai wanita tidak fahami hak mereka atau takut untuk buat laporan polis disebabkan stigma berkenaan.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan tentera negara ini telah melakukan kempen penghapusan etnik ke atas etnik minoriti Rohingya, sudah pasti penduduk Muslim Myanmar menjadi sasaran utama keganasan dan diskriminasi.

“Di Myanmar terdapat banyak cabaran kepada kaum wanita. Saya boleh katakan, untuk wanita Muslim, cabarannya lebih besar,” katanya.

Namun, Htwe sedikit rasa lega apabila mendengar sendiri pandangan para pelajarnya setiap kali menerima borang maklum balas berhubung selepas sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P) tamat.

“Mereka sering beritahu saya, mulanya, kami anggap kamu akan katakan sesuatu yang kontroversi tentang budaya dan agama. Tetapi, sepanjang sesi P&P itu, kamu sama seperti kami, tidak ada perbezaan besar antara kita,” katanya.

Walaupun Htwe mengakui perubahan sosial itu akan memakan masa, tetapi beliau yakin kelas sedemikian berupaya untuk membina semangat persefahaman sesama sendiri pada masa depan.

“Jika seorang daripada 20 orang dalam kelas ini telah berubah atau mereka memperoleh sesuatu yang berguna, ia adalah kesan positif untuk keseluruhan komuniti.

“Saya pula akan terus melakukan apa sahaja yang termampu untuk menyebarkan pengetahuan tersebut dan menjadi sebahagian daripada perubahan itu. Itulah matlamat saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN