Tiket Malaysia-Myanmar laris - Utusan Malaysia

Tiket Malaysia-Myanmar laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Keghairahan penyokong Malaysia untuk menyaksikan perlawanan di antara Harimau Malaya menentang Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini telah membuatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah proaktif dengan menambah kuota penjualan tiket bagi aksi tersebut.

Perlawanan tersebut merupakan peluang terakhir Malaysia untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan dan teruja untuk menyaksikannya sebanyak 12,000 tiket telah berjaya dijual secara atas talian dan di cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports sehingga pukul 2 petang tadi.

Tidak mahu menunggu lama, FAM telah menambah kuota tiket perlawanan yang boleh dibeli daripada dua saluran tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata selain menambah kuota penjualan tiket, badan induk tersebut turut mengambil inisiatif untuk membuka kaunter khas di Wisma FAM.

“Bagi memudahkan penyokong Harimau Malaya membeli tiket, FAM akan membuka ‘kaunter khas’ di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 20 November ini hingga Khamis (22 November) dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

“FAM juga dalam perbincangan dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mendapatkan kebenaran membuka kaunter jualan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa

ini bersempena dengan cuti umum Maulidur Rasul bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong Harimau Malaya membeli tiket lebih awal.

“Maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya lagi, kaunter tiket tetap dijual seperti biasa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan juga pada hari perlawanan dari pukul 10 pagi hingga sepak mula.

Harga tiket bagi perlawanan itu bernilai RM20 bagi tempat duduk terbuka, RM30 bagi tempat duduk grandstand dan RM5 bagi tiket kanak-kanak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN