KUALA TERENGGANU 25 Nov. – Seramai 12,611 penjawat awam di negeri ini akan menerima insentif sebanyak RM500 sebagaimana di peringkat Pusat sebagai penghargaan atas komitmen mereka yang turut meletakkan negeri ini antara yang terbaik dalam pentadbiran.
Ketika membentangkan Bajet 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM6.3 juta itu akan dibayar Disember depan.
“Kerajaan negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan Terengganu antara negeri yang terbaik di Malaysia.
Beliau menarik perhatian dalam membina jati diri dan mutu kerja kakitangan sektor awam dan swasta, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM2 juta bagi memperkasakan Darul Iman Training Center (DITC).
“Melalui langkah pemerkasaan ini, kerajaan berharap dapat melahirkan modal insan yang berkualiti bagi meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan.
“Selaras dengan perkembangan teknologi, kerajaan juga berhasrat mendigitalkan sistem penyampaian kerajaan secara efisien dan efektif justeru program-program untuk meningkatkan kemahiran multimedia, teknologi baharu dan infrastruktur internet akan dilaksanakan dengan peruntukan RM1.2 juta,” ujar beliau.
Selain itu katanya, dalam usaha menambah baik sistem penyampaian agenda rakyat dan pentadbiran negeri, kecekapan pentadbiran di peringkat komuniti merupakan satu elemen penting.
Bagi melancarkan agenda penyampaian tersebut, Program Kesejahteraan Pentadbiran Komuniti dan Program Latihan Kesejahteraan Informasi dengan peruntukan berjumlah RM1.28 juta akan digerakkan dengan penglibatan 5,000 orang peserta dari kalangan pentadbir komuniti kampung. – UTUSAN ONLINE











