LONDON 22 Nov. – Sekolah dalam hutan terpencil di Brazil dinobatkan sebagai bangunan baharu terbaik di dunia, dengan kanopi pokok balak tinggi dijadikan bilik darjah dan asrama untuk anak pribumi miskin.
Kompleks ‘Perkampungan Kanak-Kanak’ yang terletak di pedalaman wilayah Tocantins itu akan menempatkan 540 kanak-kanak di asrama baharu, di sebuah kawasan di mana kebanyakan kanak-kanak perlu pergi dan pulang dari sekolah meredah hutan hujan tebal dengan berjalan kaki atau menaiki bot.
“Bangunan ini meningkatkan kualiti kehidupan kanak-kanak,” menurut Gustavo Utrabo, seorang arkitek di Aleph Zero kepada Thomson Reuters Foundation menerusi panggilan telefon dari Brazil.
Bangunan hijau berkenaan, yang mendapat pujian para juri sebagai ‘hero merendah diri’, direka oleh Aleph Zero dan Rosenbaum dan memenangi Hadiah Antarabangsa RIBA 2018 oleh Royal Institute of British Architects.
Kompleks itu mengambil masa selama 14 bulan untuk dibina, menggabungkan budaya tempatan dan konsep moden tahap tertinggi, dan menggunakan komponen bangunan tradisional seperti blok batu-bata buatan tangan untuk menggantikan bangunan lama.
“Kami cuba mencetuskan pengalaman baharu dan tafsiran kontemporari menerusi citarasa tradisional untuk membina kawasan ini,” kata Utrabo.
Kesemua pakar juga telah melawat 30 bangunan yang disenaraikan termasuk sebuah taman menegak di Milan sehingga ke sekolah muzik virtuoso di Tokyo untuk mencari bangunan baharu yang terbaik di dunia.
Pasukan yang memenangi anugerah itu berganding bahu dengan pelajar di Sekolah Canuana untuk menghasilkan rekaan yang dapat mengubah kehidupan mereka melalui seni bina dan menyediakan kawasan baharu yang luas untuk mereka tidur, belajar dan berehat.
Kompleks berkenaan bergabung dengan hutan sekitarnya, menampilkan suasana semula jadi dari haba tropika di kawasan dengan suhunya dapat mencapai 40 darjah Celsius.
Kanopi berturap berkeluasan menjangkau kira-kira 25,000 meter persegi, hampir lima kali luas padang bola sepak.
Sementara itu, arkitek kini merancang untuk melaksanakan projek Perkampungan Kanak-Kanak kedua di Pantanal, Brazil dan pusat komuniti pribumi di Xingu, utara Brazil. – AGENSI










