Rusuhan kuil: Solidariti anggota Parlimen PH, BN dan bebas kemuka usul - Utusan Malaysia

Rusuhan kuil: Solidariti anggota Parlimen PH, BN dan bebas kemuka usul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Parlimen hari ini menyaksikan solidariti antara anggota Parlimen kerajaan, pembangkang dan bebas apabila mereka senada mengemukakan usul tergempar untuk Dewan Rakyat membincangkan insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang mewakili kerajaan serta Ahli Parlimen Bebas dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee yang mewakili Barisan Nasional (BN); menghantar usul yang dibuat di bawah peraturan mesyuarat Perkara 18 (1) itu secara berasingan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Ariff Md. Yusof hari ini.

“Kami Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak berkumpul dan memasukkan satu usul segera untuk membahaskan perkara yang dianggap berkepentingan awam dan perkara yang khusus, berkenaan dengan kejadian di sebuah kuil di Seafield. Usul ini dikemukakan dan diterima oleh pejabat Yang Dipertua dan beliau memaklumkan bahawa akan dipertimbangkan untuk dibahaskan Khamis ini.

“Kami berkumpul hari ini sebagai satu tanda solidariti tanpa kepartian untuk menunjukkan bahawa semua ahli Parlimen menganggap perkara ini perlu kita beri satu penekanan yang khusus dan perlu kita rungkai secara bersama dalam suasana keharmonian,” kata Fahmi dalam sidang media bersama Anggota Parlimen PH, BN dan Bebas di Lobi Parlimen hari ini.

Turut hadir, ahli Parlimen PH dan BN termasuk Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bebas-Masjid Tanah), Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang), Datuk Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) dan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan). – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN