PUTRAJAYA 25 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedahkan baru-baru ini.
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suruhanjaya itu juga telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.
“Sehubungan itu, SPRM akan memanggil beberapa saksi dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berkaitan isu tersebut dalam tempoh terdekat,” katanya.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad hari ini dilaporkan mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Madinah dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media pada pukul 1.14 pagi tadi memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang.
Jelas Madinah, berdasarkan kronologi yang disediakan oleh pasukan audit 1MDB, Shukry pada 20 Februari 2016 telah meminta pasukan audit 1MDB untuk kemukakan laporan akhir pengauditan untuk dibincangkan bersama Najib.
Mesyuarat bersama Najib pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri dengan kehadiran bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Shukry dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguat kuasa.
Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa Najib telah mengarahkan laporan audit 1MBD yang disediakan Ambrin dipinda.
Berita tersebut yang memetik sumber turut memberitahu, laporan itu mendedahkan Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB. – UTUSAN ONLINE











