SEREMBAN 25 Nov. – Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pakatan Harapan (PH) berjaya membantu kaum India di negeri ini dengan lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini dalam tempoh enam bulan lalu.
Beliau berkata, perkara itu terbukti melalui penganjuran karnival jualan yang diadakan bagi menggalakkan usahawan kaum tersebut berniaga semasa Deepavali di Seremban baru-baru ini.
“Kita buat karnival selama 10 hari beri peluang peniaga kecil dan mengenakan sewa yang rendah. Kita dapat untung daripada penganjuran karnival. Duit lebih itu bukan masuk poket kita tetapi kita sumbangkan kepada sekolah Tamil.
“Dulu MIC buat program mana ada lebihan dan untung dan tidak ada sumbangan kepada sekolah Tamil. Baru satu program kita buat untuk kaum India di negeri ini, kita sudah buat lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu.
“Kalau kita ikhlas, jujur dan berintegriti, buat untuk kepentingan masyarakat, bukan untuk peribadi sudah tentu akan membuahkan hasil yang baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai di sini malam tadi.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai, J. Arul Kumar dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Dalam pada itu, Anthony berkata, tumpuan kerajaan PH adalah untuk meningkatkan ekonomi dan sosial rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.
Beliau juga berkata, majoriti rakyat di negara ini mahu hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati, namun ada pihak yang ingin memecahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum. – UTUSAN ONLINE











