LANGKAWI – Keputusan kerajaan untuk menyimpan kapal layar yang bakal dilelong, Equanimity di Langkawi dilihat sebagai langkah bijak bagi menjaya nilai kapal itu, seorang pakar marin memberitahu Bernama hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Sdn. Bhd., Datuk Alexander Isaac berkata, kualiti air di pulau ini adalah asli dan bersih berbanding beberapa tempat lain di negara ini dan dapat mengurangkan urusan untuk memelihara kapal layar mewah itu.
“Kami juga mempuyai limbungan kapal di sini yang dikendalikan sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran kejuruteraan dalam mengendalikan kapal layar besar dari seluruh dunia. Equanimity tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan khidmat penyelenggaraan bertaraf dunia,” katanya kepada Bernama.
Alexander, yang berpengalaman dalam perniagaan marin sejak 12 tahun dan mengendalikan syarikat pelancongan cruise melibatkan beberapa buah kapal, berkata, Langkawi memiliki kemudahan penyelenggaraan kapal layar bertaraf dunia untuk memenuhi keperluan Equanimity.
“Terlibat dalam bidang ini sejak sekian lama, saya bersependapat dengan Perdana Menteri (kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini) bahawa sebuah kapal perlu dikendalikan setiap beberapa hari kerana ini akan dapat mengelakkan kapal itu tersadai begitu sahaja selain menjamin mesin kapal berada dalam keadaan baik, ” tambah beliau. – Bernama










