Maulidur Rasul dirai penuh takwa - Utusan Malaysia

Maulidur Rasul dirai penuh takwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Maulidur Rasul tahun ini disambut di seluruh negara dengan pengisian pelbagai program bagi melahirkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sambutan diadakan de­ngan penuh ketakwaan dan diserikan perarakan sambil membaca selawat ke atas Nabi untuk menyemarakkan ingatan terhadap Rasulullah SAW.

Di Putrajaya, sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dihadiri Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat pada majlis sambutan itu yang juga dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kira-kira 4,000 peserta kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta termasuk pelajar turut menghadiri perarakan itu.

Di Selangor, sambutan hari kebesaran umat Islam itu dimulakan dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menge­tuai perarakan yang diadakan di pekarangan Stadium Shah Alam.

Amirudin bersama-sama kira-kira 3,000 peserta berarak sejauh kira-kira dua kilometer dari Stadium Shah Alam menuju ke Stadium Malawati sambil me­ngalunkan selawat.

Di Kedah, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang berlangsung di Dewan Sri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar diserikan dengan keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Di Perak, sambutan yang diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dekat Kamun­ting semalam dihadiri lebih 2,000 orang terma­suk Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Pe­rak, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Di Pulau Pinang, seba­nyak 55 kontinjen daripada pelbagai agensi, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan kariah masjid menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul di Politeknik Balik Pulau.

Sambutan itu melibatkan seramai 2,700 peserta yang berarak sejauh dua kilo­meter bermula dari Ma­ahad Al Mashor Al Islami ke Politeknik Balik Pulau.

Di Terengganu, Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar bersama kira-kira 2,000 rakyat Terengganu berarak dari Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu menuju Stadium Negeri.

Perarakan yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai disertai kira-kira 66 agensi.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sulta­nah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Di Johor, sambutan meriah yang disertai kira-kira 7,000 umat Islam di­mulakan dengan perarakan di hadapan Sekolah Menengah Sri Mersing melalui Jalan Masjid sejauh satu kilometer dike­tuai Tengku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Di Melaka, seramai 6,429 peserta daripada 111 kontinjen menyertai perarakan sejauh empat kilometer bermula di Stadium Hang Tuah ke Dataran Masjid Al-Azim dike­tuai Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Ne­geri Melaka Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob.

Di Pahang, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menghadiri maj­lis sambutan Maulidur Rasul peringkat Ne­geri Pahang yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan.

Lebih 3,000 orang daripada 39 kontinjen menyertai perarakan.

Di Sabah, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mengetuai kira-kira 10,000 peserta perarakan Maulidur Rasul daripada 79 kontinjen dari Sutera Avenue ke Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN