KUALA LUMPUR 21 Nov. – Corak permainan tersusun, set piece lebih kreatif sewaktu pukulan sudut penalti dan benteng kental antara yang ditagih daripada Malaysian Tigers apabila berdepan New Zealand buat kali terakhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.
Malaysia tewas kepada New Zealand dalam dua ujian terakhir pada Jumaat lalu dan semalam.
Begitupun, misi mereka esok bukan memburu kemenangan semata-mata tetapi melihat peningkatan drastik dalam beberapa aspek sebelum berlepas ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dengan penuh keyakinan.
Ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans berkata, perlawanan esok amat penting untuk membentuk pasukannya, terutama buat semua 18 pemain yang akan ke Piala Dunia 2018.
“Esok saya akan turunkan 18 pemain utama yang disenarai ke Piala Dunia untuk melihat apa peningkatan yang boleh ditunjukkan selepas mencuba beberapa kombinasi dalam dua perlawanan terdahulu.
“Kelemahan ketara Malaysia sebelum ini adalah banyak melakukan kesilapan mudah, harap ia tidak berulang lagi esok,” kata Oltmans
Dalam perlawanan pertama, Malaysia tewas 1-2, sebelum tumpas sekali lagi 3-4 kepada pasukan ranking kesembilan dunia itu.
Dalam kempen Piala Dunia 2018 yang bermula 28 November ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Belanda, Jerman dan Pakistan manakala New Zealand berada dalam Kumpulan A bersama Argentina, Sepanyol dan Perancis.










