Lembah Kiol jadi pusat pelancongan - Utusan Malaysia

Lembah Kiol jadi pusat pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT 20 Nov. – Majlis Daerah Jerantut (MDJ) melancarkan projek Local Agenda 21 (LA21) bagi memfokuskan pembangunan sektor pelancongan Lembah Kiol di daerah ini sebagai sebuah lokasi tarikan pelancongan baharu selepas Taman Negara Kuala Tahan.

Pengerusi Program Cintai Alam Sekitar LA21, Noorinda Othman berkata, menerusi projek itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini berhasrat mempromosi Lembah Kiol sebagai kawasan Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (CBET).

“Program ini merupakan kerjasama MDJ dengan 17 agensi kerajaan dan tujuh buah syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan penduduk setempat dan pengunjung supaya menjaga kebersihan dan keceriaan Lembah Kiol.

“Kita juga mendedahkan pengetahuan bagaimana me­nguruskan kebersihan dan keceriaan Lembah Kiol kepada seramai 200 orang penduduk Orang Asli etnik Jakun di kawasan ini berasaskan projek CBET,” katanya di Lembah Kiol dekat sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Yang Dipertua MDJ, Datuk Tengku Nor Asmaliza Ku Lah dan Pengerusi Kelab Pencinta Burung Taman Negara, Roslan Abu Kassim.

Sempena program itu, Tengku Nor Asmaliza melepaskan sebanyak 10,000 benih ikan lampam di Sungai Meraung dan turut bergotong-royong bersama penduduk membersihkan kawasan per­sekitaran sungai dan taman Lembah Kiol.

Noorinda yang juga Setiausaha MDJ berkata, program itu dapat mendedahkan sosio budaya dan terma antropologi dari aspek sosial serta bahasa Orang Asli etnik Jahut terma­suk habitat burung liar kepada pengunjung luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN