KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini semalam bagi membuat laporan ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy (gambar kecil).
Laporan polis itu dibuat berhubung pendirian Waytha Moorthy mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi mendakwa, Waytha Moorthy telah mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh isu keistimewaan Melayu serta bumiputera.
“Kami mendesak Waytha Moorthy melepaskan jawatan dalam kerajaan serta dikenakan tindakan tegas berikutan kenyataannya berbaur perkauman,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu.
Menurut Mohamed Nizham, negara selama ini menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan sosial kontrak yang dipersetujui bersama sejak sekian lama.
“Kami percaya majoriti rakyat pun tidak bersetuju dengan kenyataan Waytha Moorthy dan setakat ini lebih 100 laporan polis dibuat berkenaan isu tersebut di seluruh negara,” ujarnya.
Di Gua Musang, sebanyak tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Majlis Belia Felda serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia membuat laporan polis berhubung isu sama terhadap Waytha Moorthy di IPD Gua Musang semalam.
Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, mereka menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan tegas terhadap Waytha Moorthy dan mahu beliau meletak jawatan sebagai menteri.
“Kami melihat kegagalannya menguruskan isu-isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak sehingga mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, persidangan Dewan Rakyat di Parlimen kelmarin kembali kecoh apabila wakil rakyat pembangkang melaungkan rasis kepada Waytha Moorthy berhubung pendiriannya mengenai ICERD.
Baru-baru ini, video lama Waytha Moorthy yang mendakwa kerajaan ketika itu kononnya melakukan pelanggaran hak asasi manusia dengan mendiskriminasi hak kaum India tular di media sosial.










