KUALA LUMPUR 26 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan akan mengeluarkan laporan kawalan kerosakan yang pernah dilakukan pentadbiran terdahulu.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, laporan tersebut termasuk pengurusan hutang yang tinggi melibatkan kerajaan sebelum ini dan juga rombakan barisan Kabinet beberapa kementerian.
“Kita akan dedahkan pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Dwi Tahunan Alumni Persatuan Alumni Pegawai dan Tadbir Diplomatik (PTD) 2018, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden Persatuan Alumni PTD, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.
Terdahulu, beliau turut melancarkan Yayasan Alumni PTD yang bertujuan menjadikan program dan aktiviti persatuan tersebut lebih aktif.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau turut menghargai jasa PTD sepanjang pemerintahannya selama 22 tahun sebelum ini. – UTUSAN ONLINE











