MUAR 25 Nov. – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu masih belum mendapat butiran terperinci mengenai 100 ahli termasuk Pengerusi Cawangan Kampung Paya Rumput Hilir, Tangga Batu di Melaka yang didakwa keluar parti.
“Saya belum dengar dan dapat maklumat (lanjut) lagi (berkaitan keluar parti),” katanya ringkas selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Difahamkan, Pengerusi cawangan berkenaan, Jalalludin Mulot berkata, keputusan itu dibuat selepas tidak lagi yakin dengan jaminan diberikan oleh kepimpinan tertinggi negeri apabila terdapat campur tangan pihak lain dalam pemilihan jawatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). – UTUSAN ONLINE











