Kawasan air terjun Terengganu bebas wabak kencing tikus - Utusan Malaysia

Kawasan air terjun Terengganu bebas wabak kencing tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU – Semua kawasan air terjun yang terdapat di hutan lipur Terengganu termasuk Taman Eko Rimba Sekayu dekat sini bebas daripada wabak Leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan proaktif menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri melakukan pemantauan berkala di enam kawasan air terjun yang menjadi tumpuan ramai di negeri ini.

“Berdasarkan ujian sampel air diambil Jabatan Kesihatan negeri pada setiap bulan mendapati, semua kawasan air terjun berkenaan bebas daripada wabak kencing tikus.

“Selain Taman Eko Rimba Sekayu, pemeriksaan itu turut meliputi Lata Tembakah dan Belatan, Besut, Chemerong dan Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun serta Hutan Lipur Air Menderu, Kemaman,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman melakukan lawatan kerja di Taman Eko Rimba Sekayu dekat sini hari ini.

Ahmad Fadzil berkata, Jabatan Perhutanan negeri sebagai pihak bertanggungjawab mengambil cakna tentang kebersihan di kawasan air terjun berkenaan dengan memperuntukkan RM20,000 setahun bagi tujuan penyelenggaraan di setiap lokasi tarikan pelancongan terbabit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN