ICERD tidak jamin kestabilan negara - Utusan Malaysia

ICERD tidak jamin kestabilan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN Belanjawan 2019 yang ditolak oleh Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, kebelakangan ini perbahasan panas melibatkan pelbagai pihak dari segenap lapisan masyarakat ialah mengenai ICERD.

ICERD adalah singkatan International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.

Ini adalah isu lama yang telah berusia hampir 50 tahun kini panas dibincang dalam media sosial. Ia menjadi panas semula selepas ucapan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 yang berikrar “…untuk mengiktiraf semua baki instrumen PBB berkaitan perlindungan hak asasi manusia.”

ICERD adalah suatu perjanjian antarabangsa yang disebut sebagai ‘konvensyen’ yang telah mula berkuat kuasa sejak 4 Januari 1969, namun Malaysia tidak pernah menyatakan hasrat mahu meratifikasinya sehinggalah apabila kerajaan baharu ambil alih tampuk pemerintahan pada 9 Mei 2018.

Saya percaya, janji Perdana Menteri di UNGA ke-73 tersebut dibuat sebagai susulan kepada manifesto Pakatan Harapan yang tercatat sebagai Janji 26 pada muka surat 76 bahawa jika Pakatan Harapan memerintah, mereka akan meratifikasi iaitu mengesahkan, semua baki instrumen PBB berkaitan hak asasi manusia.

Seperkara lagi yang penting diberi perhatian ialah Malaysia tidak pernah turut serta dalam membina intipati perjanjian ICERD tersebut. Ia dibina oleh negara-negara lain yang menyertainya. Maka amatlah pelik sekiranya kita menerima membuta tuli penyelesaian bagi negara lain untuk dilaksanakan dalam negara kita.

Kesan meratifikasi ICERD adalah meluas dan boleh mengganggu ketenteraman awam negara ini. Malaysia tidak mempunyai apa-apa masalah kekacauan besar selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Keamanan dan kesejahteraan ini tidak seharusnya diperjudikan semata-mata kerana mahu mengikut jejak negara-negara lain yang sememangnya mempunyai struktur masyarakat dan sejarah yang berbeza dengan Malaysia.

Sejak pengumuman dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy Ponnusamy pada 25 Oktober lalu bahawa Malaysia akan meratifikasikan ICERD dengan menyebut beliau disokong oleh seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mujahid Yusoff, masyarakat mula memberi pelbagai reaksi, persoalan dan penolakan.

Reaksi ini semakin hari semakin meluas dan suhu kemarahan sedang meningkat dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera.

Penularan video ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen yang memberi amaran akan mengajak dan menggerakkan sejuta rakyat ke jalan raya sekiranya hasrat ratifikasi ICERD ini diteruskan, jangan diambil ringan dan dipermainkan amaran tersebut.

Saya sudah menyatakan pendirian UMNO sebelum ini bahawa kami menolak ratifikasi ICERD ini sepenuhnya. UMNO adalah pemain utama, bersama dengan rakan-rakan dalam Perikatan untuk memberi input kepada Suruhanjaya Reid dalam proses merangka Perlembagaan Persekutuan pada 1956 sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perbincangan yang amat serius dan panjang telah dibuat selepas penerimaan Laporan Suruhanjaya Reid dalam Jawatankuasa Khas pembentukan Perlembagaan pada awal 1957 mengenai Perkara 153 dan hal-hal berkait kewarganegaraan. Kami yakin, persetujuan dalam perbincangan tersebut yang melahirkan Perlembagaan Persekutuan telah berjaya mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, walaupun ia dibina oleh pelbagai bangsa, keturunan dan agama.

Kami amat berharap kesejahteraan ini tidak dicabul berikutan ada keghairahan semata-mata untuk mengikut tindakan masyarakat negara-negara lain.

Ada cadangan supaya Malaysia sertai dahulu untuk turut sama membina ICERD sebelum meratifikasikannya bagi memastikan apa yang terkandung dalam konvensyen tersebut boleh sama-sama dilaksana oleh Malaysia

Cadangan ini sebenarnya adalah amat tidak praktikal kerana ICERD itu sudah muktamad dan Malaysia hanya boleh ratifikasi atau memilih untuk tidak ratifikasi sahaja.

Antara pendapat yang turut popular ditularkan oleh para penyokong tindakan ratifikasi ICERD menyatakan bahawa ICERD tidak memberi kesan kepada Perlembagaan Persekutuan, malah Perlembagaan Persekutuan adalah kebal dan Perkara 153 tidak boleh dipinda.

Pandangan sebegini adalah amat meleset dan boleh dijadikan sebagai pujukan berunsur penipuan atau ‘pujukan beracun’. Pertamanya, Perlembagaan kita boleh dipinda dan telah dipinda banyak kali. Kedua, persepsi kuasa Raja-Raja Melayu kebal dan tidak boleh diganggu-gugat juga tidak tepat kerana Perkara 181 yang melibatkan imuniti Raja-Raja Melayu, secara langsung dan tidak langsung sudah dipinda.

Perlembagaan Persekutuan tidak kebal daripada kebocoran penguatkuasaan dan kuasa-kuasa pentadbiran semasa di semua peringkat. Mereka yang berkepentingan pasti akan mengetepikan Perlembagaan dan mengutamakan ICERD.

Cadangan untuk meratifikasi sebahagian daripada ICERD, atau ‘reservasi’ juga adalah tidak praktikal, kerana sesuatu reservasi yang dicadang itu tidak dapat dilaksanakan sekiranya sekurang-kurangnya dua pertiga negara menolaknya.

Rakyat Malaysia perlu berasa bimbang dengan desakan meratifikasi ICERD kerana saya percaya wujudnya agenda lebih besar yang mengancam kedaulatan negara ini. Walaupun ia bukan sesuatu yang wajib diratifikasi, namun wujud kesungguhan yang luar biasa ke arah meratifitikasikannya.

Saya percaya golongan pro-ICERD cuba sembunyikan agenda pemansuhan Perkara 153 dan segala akta-akta berkaitan yang dibuat di bawahnya atau apa-apa tindakan yang boleh menyebabkan Perkara 153 tidak dapat dilaksanakan.

Sekiranya Perkara 153 dimansuhkan, yang bererti penghapusan hak-hak istimewa Orang Melayu dan Anak-Anak Negeri Sabah dan Sarawak, kesannya adalah akan meningkatkan lagi jurang ekonomi antara kaum dan boleh menyebabkan kestabilan dan keamanan negara terancam.

Seterusnya, kesan langsung utama akan berlaku ke atas MARA, MRSM, UiTM, FELDA, Askar Melayu Diraja serta semua parti-parti politik yang berasaskan bangsa sperti UMNO, PPBM, MCA dan MIC.

Penghapusan polisi Tanah Rizab Melayu, tidak boleh diwujudkan kuota Bumiputera, semua syarat-syarat yang khusus untuk Bumiputera diberhentikan dan tiada lagi biasiswa boleh dikhususkan untuk anak-anak Melayu, dan Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Banyak cara lain untuk mengatasi masalah diskriminasi kaum seperti didakwa oleh sesetengah pihak tanpa melibatkan ratifikasi ICERD. Ini termasuk penggubalan akta berkaitan diskriminasi di Parlimen.

Namun, tidak susah untuk kita membuat ramalan daripada proses terancang yang sedang berlaku dalam negara, di mana beberapa instrumen keamanan dan kedamaian seperti POCA dan SOSMA hendak dimandulkan, isu ratifikasi ICERD yang berpotensi membakar perasaan orang Melayu dan Bumiputera lain dihidangkan kepada rakyat ditambah pula dengan ketiadaan tindakan ke atas mereka yang secara berterusan dan berleluasa membuat kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Semua ini merupakan elemen-elemen yang boleh menggugat kesejahteraan dan kestabilan negara, serta menimbulkan persoalan siapakah sebenarnya perancang utama pro-ratifikasi ICERD serta kenapa mereka berbuat demikian. Tangan-tangan milik siapakah yang kini mengemudikan boneka di negara ini untuk kepentingan mereka?

Inilah antara sebab saya menolak tindakan meratifikasi ICERD dan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak usaha ini sekeras-kerasnya. Moga negara ini terus dirahmati, selamat dan sentiasa berdaulat.

DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI ialah Presiden UMNO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN