JOHOR BAHRU – Hasil siasatan berhubung kebakaran wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HAS) di sini dua tahun lepas akan dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebarang hasil siasatan harus dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu kerana ia dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas di bawah Kabinet.
“Saya mohon maaf kerana pasti semua pihak menanti-nantikan laporan dan pendedahan itu hari ini tetapi saya tidak punya kedudukan dan punca kuasa untuk mendedahkannya, ia perlu dibentangkan kepada Kabinet sebelum didedahkan,” kata kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Permai di sini, lewat petang tadi.
Susulan kebakaran di wad ICU itu pada 25 Oktober 2016 yang mengorbankan nyawa enam pesakit, Menteri Kesihatan pada masa itu, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dengan sokongan Kabinet melantik satu jawatankuasa khas pada Disember 2016 bagi mendapatkan laporan penuh insiden tersebut.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, beberapa usaha penambahbaikan dibuat ke atas HSA sejak insiden kebakaran termasuk menggantikan kapasitor dan ‘ballast’ untuk lokasi kritikal dan tidak kritikal, menambah bilangan pemadam api sedia ada, menaiktaraf sistem ‘hose reel’ di bangunan induk dan membaiki sistem amaran api di sesetengah bangunan termasuk yang menempatkan wad diraja.
Selain itu, menurutnya, kementerian juga meluluskan RM29.77 juta untuk kerja-kerja pemasangan ‘sprinkler’, pendawaian, menaiktaraf sistem perangkap kilat dan lain-lain dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
“Ia adalah antara status terkini HSA. Untuk perancangan sama ada ICU itu akan dikembalikan peranannya seperti sebelum ini ataupun sebaliknya, ia masih dibincangkan, malah sudah ada cadangan awal untuknya, bagaimanapun nanti kita akan beritahu,” katanya. – Bernama











