Guna saluran betul suarakan pendapat ICERD - KPN - Utusan Malaysia

Guna saluran betul suarakan pendapat ICERD – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Semua pihak dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pendapat serta mematuhi segala peruntukan undang-undang, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya ingin mengadakan himpunan bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau bertindak dalam apa jua cara yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat Malaysia berhak dan bebas untuk menyuarakan pendapat serta pendirian mereka mengenai isu ini.

“Bagaimanapun, perkara itu harus dibuat mengikut landasan undang-undang serta tidak sesekali melampaui batasan sehingga menyentuh sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, masyarakat harus yakin dengan komitmen kerajaan untuk mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung ratifikasi ICERD tersebut.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan amanah untuk menjaga ketenteraman awam dan akan memastikan tidak wujud sebarang bentuk pelanggaran undang-undang ataupun percubaan daripada mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas isu ini demi kepentingan agenda mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN