PULAU PINANG 18 Nov. – Bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak boleh kembali menjawat jawatan berkenaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa pada peringkat Pusat meskipun menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2018 yang diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu lalu juga ‘terpakai’ kepada mereka yang pernah menjawat jawatan berkenaan selama dua penggal sebelum ini.
Pengerusi DAP negeri itu berkata, beliau juga tidak akan menjadi Ketua Menteri selepas tempoh dua penggal yang disandangnya berakhir.
“Saya dan Guan Eng tidak boleh lagi menjadi Ketua Menteri selepas rang undang-undang berkenaan diluluskan baru-baru ini ,” katanya.
Beliau berucap pada Konvensyen Biasa DAP negeri yang turut dihadiri Guan Eng di sini hari ini.
Pindaan rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan majoriti dua pertiga Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) minggu lalu setelah mula dibangkitkan sejak 2013. – UTUSAN ONLINE










