KEJOHANAN Golf Amal Tan Sri Alex Lee 2018 yang berlangsung di Kelab Golf Saujana & Country Saujana (SGCC), Subang baru-baru ini berjaya mengumpulkan dana hampir RM150,000 bagi mengisi Tabung Pendidikan Atlet.
Penganjuran tersebut bertujuan mengutip dana bagi membantu golongan atlet dan bekas atlet menyambung pengajian melalui biasiswa tajaan tabung tersebut.
Setakat ini, Tabung Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee telah membantu seramai 53 atlet dan 12 daripadanya kini berada di peringkat pengajian dalam pelbagai bidang di universiti-universiti tempatan dan juga luar negara.
Tahun ini, 12 atlet layak menerima biasiswa daripada Tabung Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee bagi menyambung pengajian iaitu Lee Jo Rynn, Ng Shi Yeng, Tia Chia Qian (bola keranjang); Wong Tzer Chyuan (pedang), Wong De-Vin (luncur ais), S. Puvendren (squash), Kelie Kan Kah Yan (golf), V.R Harvindran (kriket), Cheong Ju Hoon (terjun), Chiew Chern Kwang (polo air), Lim Yin Fun dan Lee Zii Yii (badminton).
Mendiang Alex yang meninggal dunia pada usia 60 tahun pada 1999, memberi sumbangan besar kepada pembangunan sukan negara ini termasuk memainkan peranan penting ketika Malaysia memenangi bidaan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.
Setakat ini, Tabung Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee telah membantu seramai 53 atlet dan 12 daripadanya kini berada di peringkat pengajian dalam pelbagai bidang di universiti-universiti tempatan dan juga luar negara.
Dalam pada itu, pertandingan golf yang berlangsung meriah itu disertai beberapa syarikat swasta, badan-badan korporat, persatuan sukan kebangsaan dan ahli SGCC serta bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar.
Pemenang trofi Golf yang memasuki penganjuran kali ke-16 itu dimenangi oleh pasukan Water Polo Kuala Lumpur manakala tempat kedua menjadi milik pasukan AIA Berhad dan CIT3 meraih tempat ketiga.










