SEREMBAN 18 Nov. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikan mencari publisiti murahan dengan mendedahkan insiden Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran telah melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.
Katanya, beliau tidak memerlukan publisiti seperti itu memandangkan setiap hari dia bercakap dalam sidang akhbar memberitahu pelbagai program yang dilaksanakan di peringkat kementeriannya.
“Cuma apabila berlaku insiden seperti ini yang saya difahamkan pernah berlaku dulu membabitkan orang kenamaan bersikap seperti itu, tetapi tidak diambil peduli dan diberi perhatian oleh menteri ketika itu.
“Saya hendak beri mesej kepada pegawai bahawa dalam pentadbiran baharu, kalau mereka telah menjalankan tanggung jawab mengikut prosedur yang ditetapkan, menteri akan mempertahankan mereka jika timbul sebarang masalah. Mereka perlu berani dan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas taklimat agensi kerajaan bersama pegawai pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang dan para ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bukit Temiang dan Kampung Bukit Merbah di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar semalam, Anthony mendakwa Vigneswaran dengan sengaja melanggar protokol keselamatan, termasuk memakai selipar dan tidak mematuhi kod etika berpakaian, menengking kakitangan lapangan terbang serta masuk ke bilik VIP tanpa pas keselamatan.
Anthony berkata, beliau menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat penilaian masing-masing mengenai insiden berkenaan dan terpulang kepada Presiden MIC itu sama ada untuk menafikannya atau membuat permohonan maaf.
“Saya telah meminta pengurusan lapangan terbang itu membuat laporan polis malam semalam dan terpulang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Maruah kita tidak akan menjadi rendah dengan meminta maaf malah meninggikannya di mata masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










