SEREMBAN 18 Nov. – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehingga kini cadangan itu belum sampai ke Kabinet untuk dibincangkan.
“Apabila kita hendak raktifikasi konvensyen atau protokol antarabangsa, ia perlu keputusan Kabinet tetapi dalam hal ICERD, ia belum sampai ke perbincangan Kabinet apatah lagi hendak buat keputusan. Rakyat tidak perlu bimbang.
“Kita perlu yakin kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang mempunyai kewibawaan, kebijakasaan dan pengalaman politik cukup lama. Sudah tentu beliau akan menjadi orang paling penting untuk keputusan besar seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas taklimat agensi kerajaan bersama pegawai pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang dan para ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bukit Temiang dan Kampung Bukit Merbah di sini hari ini.
Beliau menyifatkan perkara itu sengaja dijadikan polemik oleh parti pembangkang yang cuba mengambil kesempatan menyerang kerajaan dalam isu ICERD.
Jelasnya, ketika ini terdapat perbincangan dan perbahasan dalam isu ICERD dan dalam konteks Malaysia baharu, semua pihak ada pandangan masing-masing.
“Tidak apalah, kita meraikan pandangan berbeza tetapi saya harap jangan sampai ia menjadi titik permulaan yang memecah-belahkan rakyat perlbagai kaum di negara ini.
“Kita akan tangani dengan hati-hati dengan penuh kebijaksanaan dan saya yakin kepimpinan Tun Dr. Mahathir akan mencari jalan penyelesaian terbaik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










