KUALA TERENGGANU 25 Nov. – Bajet 2019 bagi Terengganu dalam sektor keusahawanan yang mencecah RM21 juta memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memacu usaha mencorak budaya negeri keusahawanan yang menuntut kerangka pelaksanaan terancang.
Ketua Pegawai Eksekutif Markplus Business Advisor, Dr. Tengku Khairi A. Rahman mengucapkan tahniah kepada kepemimpinan negeri yang dianggap berani memberi tumpuan stategik bagi memperkasakan sektor ini dalam situasi masa kini yang sangat mencabar para usahawan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Perniagaan & Perindustrian Negeri Terengganu (DPPNT) berkata, ini seiring dengan Belanjawan Negara 2019 yang mewujudkan teras ketiga sebagai usaha mewujudkan budaya negara keusahawanan.
“Keusahawanan adalah langkah tepat, dan akan membantu menjadikan Terengganu negeri keusahawanan yang menjana perkembangan sosioekonomi menjelang 2030,” ujarnya ketika diminta mengulas pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Kerajaan negeri antara lain akan mewujudkan Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) berjumlah RM15 juta sebagai kemudahan pinjaman dan bantuan pembiayaan modal untuk semua segmen perusahaan kecil dan sederhana dalam usaha melahirkan ramai usahawan berdaya saing.
Sebanyak RM2 juta disediakan bagi Dana Usahawan Belia Sejahtera (Dana U-BES) manakala RM2 juta lagi bagi Tabung Siti Khadijah untuk wanita dan ibu tunggal sementara Dana Prihatin Terengganu (D-HATI) untuk Usahawan OKU berjumlah RM1 juta di samping membantu usahawan mikro dengan program gerai maju berjumlah RM1.7 juta.
Sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi Program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATE S) yang merangkumi latihan keusahawanan, modal perniagaan dan pemantauan prestasi peserta.
Sehubungan itu, Tengku Khairi menyarankan agar satu pelan kerangka strategik jangka panjang keusahawanan negeri bagi memperlengkapkan hasrat memperkasakan keusahawanan dan sosioekonomi negeri dirangka oleh Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER).
“Dengan tersedianya pelan ini, pemantauan pelaksanaan dan keberkesananan program akan lebih efektif. Usaha ini boleh meningkatkan lagi peranan PEUTER dalam menjamin keutuhan pembudayaan keusahawanan.
“Hal ini juga akan mampu membantu PKS menjana peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan isu pengangguran,”ujar beliau sambil mengharapkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang menguruskan TUGAS akan menambah baik prosedur dan kecekapan terutama memendakkan masa kelulusan permohonan dan perolehan dana pembiayaan itu. – UTUSAN ONLINE











