SAUDARA PENGARANG,
SEKIRANYA saya diberi peluang bagi mencadangkan anugerah Tun sudah pasti Tan Sri Dr. Arshad Ayub adalah insan yang paling tepat untuk menerimanya. Ini adalah sebagai satu bentuk pengiktirafan kepadanya dalam dunia pendidikan di negara ini.
Jasanya dalam bidang pendidikan terutama dalam konteks pelajar Melayu dan bumiputera cukup mengagumkan. Sebab itu beliau sehingga kini masih aktif dalam bidang yang cukup dicintainya walaupun telah berusia 90 tahun.
Dengan memegang jawatan sebagai Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) tokoh ini terus menaburkan bakti dan kudrat terhadap dunia pendidikan tanpa merasa jemu dan letih. Saya akui mungkin generasi muda (yang berada luar UiTM) tidak mengenalinya tetapi bagi warga UiTM, Arshad umpama seorang bapa sentiasa memberi inspirasi kepada mereka.
Oleh itu, sewajarnya anugerah Tun itu diberikan kepada beliau ketika masih hidup dan bukannya selepas meninggalkan kita semua. Inspirasi beliau membolehkan kita semua melihat betapa ramai golongan profesional Melayu dilahirkan. Semua ini hasil idea beliau ketika menjadi Pengarah ITM yang pertama.
Sebagai seorang yang datang daripada keluarga yang susah, beliau mahu setiap insan mendapat peluang kedua untuk berjaya. Ini dapat dilihat daripada buku A Second Chance yang mana beliau percaya peluang kedua wajar diberi dalam memastikan anak Melayu yang rata-ratanya dari keluarga susah berjaya melalui pendidikan.
Amatlah sedih sekiranya seorang insan hebat dan istimewa seperti beliau tidak diberi penghargaan sewajarnya oleh pihak kerajaan.
MOHD. FIRDAUS ABD. MUNIR
Bentong, Pahang










