Apabila kita ada kuasa - Utusan Malaysia

Apabila kita ada kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh seminggu ini, arena politik negara ‘dihiasi’ dengan pelbagai adegan yang sudah tentunya berkaitan kuasa seperti pemilihan PKR, wakil rakyat berhijrah dan pertembungan antara kerajaan dan pembangkang.

Kata orang, kuasa bagaikan hantu dan ia juga dianggap sebilah pisau terserah kepada kita bagaimana mahu menggunakannya. Apabila ada kuasa, kita menganggap ‘dunia ini kita yang punya’ dan apabila kita tiada kuasa akibat sudah lama merasai betapa nikmatnya berkuasa, maka kita menjadi ‘tidak keruan’ apabila kehilangannya.

Dalam politik sering kali kita melihat bagaimana kuasa bagaikan ‘hantu yang merasuk’ sesetengah ahli politik. Mereka bertindak melemahkan ‘musuh politik’ dengan pelbagai cara. Yang sudah tidak berkuasa pula mula resah gelisah, ‘dahan lain’ mula diintai sama ada benar-benar atas nama rakyat atau terus mahu hidup sebagai ahli politik dalam kumpulan yang berkuasa.

Mereka terlupa sama ada diberi kuasa atau tidak, ia diputuskan rakyat dan ditetapkan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 26 yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Atas sebab itulah apabila rakyat sudah membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sama ada sesebuah parti itu dipilih menjadi kerajaan atau pembangkang maka kedua-dua pihak perlu meneruskan agenda untuk membela nasib rakyat.

Dipilih sebagai kerajaan bukanlah bermakna kita hebat, apatah lagi jika kemenangan itu sebenarnya dicapai melalui manipulasi perasaan teruja rakyat dengan janji-janji yang ditaburkan melalui manifesto dan bertukar menjadi pembangkang bukanlah hina sangat.

Semua itu pasti ada hikmahnya. Mungkin kemenangan yang diberikan bagi membolehkan kita mengetahui wajah sebenar kelompok tertentu khususnya melibatkan soal orang Melayu dan umat Islam manakala kekalahan yang diharungi pula bagi memberi kesempatan kepada kita untuk menyedari ada sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Justeru bagi yang mendapat kuasa janganlah bermegah dengan kuasa tersebut. Ia bukannya boleh bertahan sampai kiamat, sistem demokrasi di Malaysia menetapkan setiap lima tahun mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat.

Sama ada kita menjadi kerajaan atau pembangkang buatlah kerja betul-betul. Pilihlah orang yang tepat bagi menguruskan negara dan berilah pandangan yang bernas bagi sama-sama membangunkan negara.

Tidak payah berpolitik sepanjang masa dan tidak perlu membuat kenyataan seolah-olah kita yang terbaik dipilih memimpin kerajaan dan apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu sekelumitpun tiada kebaikannya.

Sekarang inipun kita lihat tiada apa-apa kehebatan yang boleh dibanggakan. Prestasi kerajaan mula dipertikaikan. Bila ada yang menegur, alasan diberikan ‘kita terpaksa memperbaiki kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu’. Ia alasan paling mudah bagi menutup kelemahan dan kegagalan bagi mempertahankan diri selepas apa yang mereka janjikan dalam pilihan raya umum tidak dapat dilaksanakan. Tetapi soalnya sampai bila?

Bukankah sebelum ini yang menjadi kerajaan digambarkan sebagai pasukan yang cukup hebat dan akan membawa era baru yang lebih cemerlang kepada negara. Tetapi sekarang kenapakah apabila berhadapan dengan keluhan dan rintihan rakyat, banyak sangat dolak-daliknya.

Begitu juga pembangkang, biarkan sahaja sesiapa juga yang tidak tidur lena kerana kehilangan kuasa ‘berhijrah’. Apa boleh buat kalau mereka menang atas nama parti lain tetapi mahu menikmati kesenangan dengan parti lain. Alasan demi kebaikan rakyat diwakili, hanyalah alasan.

Kalau mahu diperdebatkan, apakah sebelum ini sejak merdeka, Malaysia tidak pernah ada parti pembangkang? Perhatikan dalam kerajaan sekarang berapa ramaikah yang sudah berpuluh-puluh tahun sebelum ini hidup sebagai pembangkang, tidak ada pula antara mereka ketika itu mahu keluar parti atas alasan ‘demi rakyat diwakili’.

Jika mahu keluar parti, keluar sahaja, tidak perlu menggunakan nama rakyat. Ia memandangkan belum tentu rakyat di kawasan mereka menyokong tindakan yang dianggap mengkhianati amanah yang diberikan.

Tetapi itulah bahana kuasa. Ia boleh mempengaruhi tindak-tanduk seseorang tidak kira apa bidang sekalipun, namun politik lebih menarik kerana ia penentu kepada hala tuju masa depan rakyat dan negara.

Cukup-cukuplah hentikanlah berpolitik dan adegan perebutan kuasa. Rakyat sedang menanti dan menaruh harapan untuk melihat sang politikus tidak terus bermain politik semata-mata kerana kuasa.

Rakyat mahu kuasa yang diberikan digunakan bagi memperjuangkan nasib mereka, bukannya tidak habis-habis menuding jari kepada pihak lain, melompat parti atau bercakaran sesama sendiri. Semua itu hanyalah adegan yang memualkan dan sama sekali tidak menguntungkan rakyat.

Menyentuh soal kerajaan dan pembangkang ini, penulis tertarik dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Suraya Yaacob pada sidang DUN negeri itu pada Isnin lalu. Antara lain beliau berkata, “Kita teruskan mengakui kekalahan, mengakui kemenangan dan kita teruskan, ini bukan negeri lain, ini negeri Kedah. Harapan saya nak teruskan sahaja, tak jadi kerajaan pun tak apa, no problem.”

Walaupun dilafazkan dalam konteks negeri Kedah, namun ia juga sesuai untuk peringkat pusat yang menyaksikan para politikus tidak habis-habis berpolemik. Segala-galanya kerana kuasa!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN