PONTIAN 1 Okt. – Seorang warga emas merayu supaya ada pihak tampil membantu membiayai penyambungan bekalan elektrik dan air ke pondok yang menjadi tempat tinggalnya di Kampung Parit Maklumi, Ayer Baloi, dekat sini.
Mohd. Swandi Surathy, 54, yang tinggal bersendirian kini mendapatkan bekalan elektrik dan air dari rumah jirannya yang terletak kira-kira 300 meter dari pondoknya.
“Pak cik menghidapi penyakit sukar untuk membuang air besar dan kerap juga mendapatkan rawatan di Hospital Pontian,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Mualaf Pontian, Mohd. Aras Abdullah, baru-baru ini.
Berita berkaitan:
Yang turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Zainuzabha Baharom.
Swandi yang pernah bekerja kilang di Ayer Baloi selama 11 tahun kini menggunakan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk membina pondok tersebut, kos rawatan dan ubat-ubatan serta belanja harian.
“Selepas banyak kali berpindah-randah, saya mengambil keputusan membina pondok ini sebagai tempat berteduh daripada hujan dan panas,” katanya sambil memberitahu kini melakukan kerja-kerja kampung untuk menampung kehidupan.
Sementara itu, Zainuzabha berjanji pihaknya akan membantu Swandi mendapatkan bantuan yang sesuai termasuk menyenaraikan sebagai penerima dalam program e-Kasih.
“Perbincangaan juga akan dilakukan dengan pelbagai agensi berkaitan bagi membolehkannya mendapat sambungan terus bekalan elektrik dan air ke pondok ini dan Mohd. Swandi boleh hidup selesa,” katanya.











