SHANGHAI 23 Nov. – Populasi ibu negara China, Beijing buat pertama kali menurun dalam tempoh dua dekad, tahun lalu, lapor agensi berita Xinhua.
Jumlah penduduk tetap adalah seramai 21.707 juta, berkurangan jika dibanding tahun sebelumnya iaitu 22 juta orang.
Jumlah penduduk di enam bandar utama juga turun 3 peratus.
Pihak berkuasa Beijing melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal populasi bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, kekurangan sumber dan masalah kenaikan harga rumah.
Populasi Beijing meningkat dua pertiga sejak 1998, manakala penggunaan tenaga telah meningkat sekali ganda dan jumlah kenderaan bertambah tiga kali ganda.
Dilaporkan sejak 2016 langkah diambil bagi mengawal populasi penduduk kepada 23 juta orang pada akhir dekad ini.
Bandar raya itu juga bekerjasama dengan bandar berjiran seperti Hebei dan Tianjin dengan memindahkan jabatan kerajaan, universiti serta mewujudkan peluang ekonomi serta pembangunan di bandar-bandar tersebut.
Kerajaan China juga mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu di Xiongan, Hebei bagi mengambil peranan sebahagian fungsi Beijing dan melabur untuk pembinaan pengangkutan bagi memudahkan pergerakan jarak jauh penduduk.
Ketika Beijing dan Shanghai mengawal penduduknya, negara China keseluruhannya berusaha mengawal kadar kelahiran dan telah menyaksikan penurunan pada 2017 dan akan mencatat jumlah lebih signifikan tahun ini.
Warga tua di China dijangka mencecah 400 juta pada 2035, iaitu meningkat berbanding 240 juta tahun ini, menyebabkan tekanan kepada permintaan khidmat kesihatan dan dana pencen, mengikut laporan kumpulan penyelidik Persatuan Keselamatan Sosial China. – REUTERS










