GEMAR bertanya pelbagai soalan meskipun ada kalanya tidak masuk akal merupakan antara taktik berkesan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida dalam mencuri perhatian guru meskipun ke atas guru yang paling bengkeng.
Menurut jutawan kosmetik dan pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd. itu, berhadapan dengan guru bersikap garang bukanlah satu masalah kerana apa yang penting baginya adalah perlu bijak dalam menangani mereka.
Katanya, sebagai pelajar, beliau perlu bersikap kreatif dalam menonjolkan diri agar kehadirannya di dalam kelas mahupun semasa sesi pembelajaran disedari oleh pendidik berkenaan.
Berita berkaitan:
“Cikgu sebenarnya adalah orang paling rapat dengan pelajar, namun jika garang, mereka juga akan ditakuti dan dibenci. Bagi saya pula, saya suka menjinakkan cikgu yang garang dan anggap ia sebagai cabaran.
“Semasa di kelas, selain selalu bertanya soalan, saya juga pastikan tulisan saya cantik dan kemas. Saya juga akan dekati cikgu dengan hasil kerja yang menarik dan kreatif agar mereka tertarik dan bangga dengan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut bekas murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Pei Hwa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di Machang, Kelantan itu, hubungan beliau dan guru juga akrab apabila sering menyertai aktiviti makan-makan di rumah mereka.
Malah, katanya, hubungan itu juga bertambah erat apabila dia mula berniaga alat solek secara kecil-kecilan di sekolah dan antara pembelinya pula adalah guru tersebut.
“Ketika itu, ramai guru membeli alat solek daripada saya. Walaupun saya cuma menjual alat solek biasa, namun mereka tidak pernah memperlekehkan saya malah sentiasa memberi sokongan.
“Kenangan semasa zaman persekolahan merupakan kenangan manis dan berharga untuk dikenang.
“Apa yang saya amalkan terhadap guru, itu juga yang saya lakukan terhadap pelajar semasa saya pula menggalas tanggungjawab sebagai pendidik,” katanya.











