JAKARTA – Korea Selatan memutuskan untuk memfailkan aduan kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) susulan insiden serangan atlet China ke atas perenangnya pada Sukan Asia 2018 di Indonesia semalam.
Ketua kontijen pasukan Korea Selatan, Kim Seong-jo menegaskan bahawa delegasinya akan menghantar surat aduan kepada OCA berhubung insiden itu dan akan meminta tindakan disiplin daripada badan pentadbir Sukan Asia.
Perenang China yang namanya tidak didedahkan dilaporkan bertindak menendang Hye-jin setelah perenang berusia 24 tahun itu secara tidak sengaja tertampar muka atlet negara Tembok Besar itu sewaktu kedua-dua perenang melakukan sesi pemanas badan.
Berita berkaitan:
Menurutnya, Hye-jin telah meminta maaf sebaik sahaja berlaku sentuhan fizikal tersebut, namun perbezaan bahasa membuatkan perenang China itu kurang faham dan bertindak menendangnya.
Insiden itu menyebabkan pergelutan berlaku antara mereka sehingga terpaksa dileraikan oleh para atlet serta jurulatih di tempat kejadian.
Bagaimanapun, Korea Selatan tetap mahu mengambil tindakan biarpun mengakui pihak China telah memohon maaf secara peribadi ketika kejadian serta bertemu semula di perkampungan atlet.
“Kedua-dua perenang didapati bergaduh setelah berlaku sentuhan fizikal secara tidak sengaja. Hye-jin sudah meminta maaf, namun nampaknya atlet China itu tidak faham lalu menyerangnya semula.
“Insiden seperti itu bukanlah luar biasa dan biasa berlaku ketika sesi latihan dan memang benar bahawa jurulatih kepada perenang China tersebut sudah memohon maaf secara peribadi.
“Namun, selepas pegawai-pegawai mereka mengadakan perjumpaan untuk berbincang mengenai masalah semalam, kami memutuskan akan membuat laporan mengenai insiden tersebut dan akan mengemukakan aduan hari ini (semalam),” katanya. – Agensi











