KUANTAN – Seorang wanita maut manakala menantunya cedera apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah lori membawa muatan kayu getah yang rosak di Kilometer 37, Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat Merapoh, Lipis awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan pada pukul 3.50 pagi itu ialah peniaga kedai makan Khatijah Awang, 53, yang berasal dari Kampung Raja, Besut di Terengganu.
Manakala menantunya Haszlan Hashim, 34, yang merupakan juruteknik di Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (START) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hanya cedera ringan pada tangan kiri.
Mereka difahamkan dalam perjalanan ke Raub dekat sini dari Besut.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Haszlan tidak menyedari lori yang berada dalam keadaan makan jalan di lorong perlahan menyebabkan dia tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan. – Bernama










