[VIDEO] Tukang besi, kayu hasilkan senjata api buatan sendiri diberkas - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tukang besi, kayu hasilkan senjata api buatan sendiri diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Daya kreatif dan inovatif seorang tukang besi dan kayu menghasilkan senjata api buatan sendiri di kediamannya di Kodiang, Kedah akhirnya memakan diri apabila ditahan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, penahanan suspek berusia 51 tahun itu hasil penangkapan seorang suspek lain berusia 46 tahun di sebuah rumah di Kampung Guar Sanji, Arau dekat sini kira-kira pukul 11 malam, Isnin lalu.

“Suspek berusia 46 tahun itu menetap di Arau merupakan seorang penoreh getah dan bekas tentera.

“Siasatan awal mendapati, dia membeli senjata api buatan sendiri daripada suspek kedua yang menetap di Kodiang untuk memburu haiwan di hutan.

“Hasil ujian urin juga mendapati dia positif dadah syabu,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Tukang besi dan kayu itu dipercayai telah mula menjual senjata api buatan sendiri sebelum 2014.

Dalam Ops Cantas di kedua-dua lokasi itu, polis berjaya merampas empat batang udi, dua batang besi laras senjata dan selaras senapang angin yang belum siap.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Mushar berkata, suspek kedua itu beroperasi menghasilkan senjata api di bengkel motosikal miliknya yang terletak di belakang rumah.

“Dia telah menjual sebanyak 200 unit senjata api dengan harga kira-kira RM800 selaras.

“Polis sedang mengesan pembeli-pembeli senjata api yang lain.

“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula Selasa hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.

Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN