KUALA LUMPUR 18 Okt. – Bukan sahaja menggunakan lesen memandu palsu, malah seorang jururawat berani memandu kereta klon yang dibeli sejak tiga bulan lalu.
Video oleh NURFARAHIN HUSSIN
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 28 tahun itu berjaya dikesan dalam Op Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Awan Besar dekat sini malam ini.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Mohd. Zawawi berkata, pemeriksaan mendapati kereta Suzuki Swift yang dipandu lelaki itu adalah kereta klon kerana nombor pendaftaran kereta tidak selari dengan nombor casis kenderaan.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa kereta tersebut dibeli daripada seorang rakannya dengan harga RM6,000.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati lelaki itu menggunakan ‘lesen terbang’ kerana tidak menepati spesifikasi lesen memandu yang dikeluarkan JPJ. Lelaki itu juga pernah disaman kerana memandu tanpa lesen dua tahun lalu.
“Kenderaan itu disita pihak JPJ manakala pemandunya ditahan pihak polis trafik untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini awal pagi ini.
Ismail memberitahu, operasi bersepadu itu disertai 122 anggota daripada enam agensi iaitu JPJ, polis trafik, imigresen, Polis Tentera, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Puspakom.
“Dalam operasi yang dijalankan pada pukul 8 malam itu, sebanyak 121 notis saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, pihak imigresen juga telah menahan sembilan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










