[VIDEO] Gerai tepi jalan : ‘Mesra’ pelanggan marhaen walaupun kurang sempurna - Utusan Malaysia

[VIDEO] Gerai tepi jalan : ‘Mesra’ pelanggan marhaen walaupun kurang sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Isu kebersihan serta tahap keselamatan persekitaran gerai-gerai di tepi jalan sudah lama dibicarakan oleh masyarakat.

Tinjauan Utusan Online di sekitar Kuala Lumpur hari ini mendapati gerai tepi jalan terus menjadi pilihan pelanggan kerana tawaran harganya yang jauh lebih murah berbanding harga makanan dalam premis bergred.

Selain itu, faktor lebih dekat dengan tempat kerja serta sekadar makan hanya untuk mengalas perut menjadi alasan mengapa gerai tepi jalan terus dekat di hati pelanggan walaupun keadaannya serba kekurangan serta tidak sempurna.

Menurut seorang pekerja swasta, Muhd. Helmi Affendi, 29, dia bersetuju bahawa gerai makan tepi jalan mudah terdedah dengan risiko berbahaya seperti kenderaan pelanggan mungkin boleh dilanggar kenderaan lain yang sedang bergerak.

“Perkara ini berlaku kerana gerai makan tepi jalan tidak memnyediakan kawasan letak kenderaan yang khas dan jika berlaku kemalangan, itu adalah atas risiko dan tanggungjawab masing-masing.

“Namun jika ditanya mengapa tidak menjamu selera di premis yang berbangunan, apa yang boleh saya kongsikan, kita cuma mahu singgah makan untuk alas perut. Bukannya membazir masa menunggu kalau ada tempat letak kenderaan yang kosong, barulah kita pergi ke kedai makan,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Muhd. Afiq Johari, 23, berkata, memang gerai makan tepi jalan kurang bersih sedikit jika mahu dibandingkan dengan restoren yang elok luaran serta dalamannya.

“Namun perlu diingatkan, waktu rehat para pekerja cukup singkat dan kewujudan gerai makan tepi jalan ini adalah kerana untuk memenuhi kehendak pelanggan di kawasan sekitar.

“Bagi saya, tahap kebersihan gerai makan tepi jalan berada di tahap yang masih boleh diterima. Kalau betul-betul kotor dan menjijikkan, takkanlah kami tak boleh fikir untuk makan di tempat lain,” katanya.

Mengulas isu sama, Mohd. Saiful Nazri, 30, mempersoalkan tindakan segelintir penguat kuasa yang mahu memberi kompaun sahaja kepada peniaga kecil-kecilan di tepi jalan.

“Apa salahnya jika penguatkuasa mengambil alternatif untuk membantu serta menaik tarafkan gerai tepi jalan ini kepada medan selera gred C misalnya. Bukan sahaja keadaan kedai dapat diselenggara dengan baik malah pelanggan masih boleh berbelanja pada harga yang berpatutan mengikut bajet.

“Kita bukannya orang kaya hari-hari nak makan di tempat yang mewah atas dasar faktor kebersihan semata-mata. Kalau nak rakyat makan di tempat sedemikian, fikirlah sesuatu agar gaji kami setaraf untuk ke restoren yang kononnya lebih bersih dan selamat itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN