MUKADIMAH
PUSAT Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) wujud sejak tahun 1983 dengan bantuan kewangan daripada Japanese International Cooperation Agensi (JICA) sehingga tahun 1991.
Seiring dengan perkembangan semasa CIAST beroperasi sepenuhnya di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia bermula dari tahun 1991 hingga 2007.
Pada Jun 2007, pengurusan CIAST dipindahkan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) hingga kini. Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS menemu bual Pengarah CIAST, DR. MOHAMAD SULAIMAN bagi berkongsi tentang hala tuju CIAST.
UTUSAN MALAYSIA: Boleh kongsikan sedikit mengenai program komuniti setempat bersama pelatih?
DR.MOHAMAD: CIAST mempunyai Kursus Pembangunan Tenaga Pengajar iaitu Latihan Operasi Vokasional (VTO).
Antara modul latihan adalah subjek tanggungjawab sosial bersama masyarakat. Baru-baru ini pelatih kami mengadakan program bersama masyarakat di Seksyen 23 Shah Alam yang disertai kira-kira 200 penduduk.
CIAST bukan sahaja mahu melahirkan pelatih yang mampu menjadi tenaga pengajar tetapi peka terhadap masalah dalam komuniti.
Bagaimana CIAST membantu meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya yang memiliki kemahiran tetapi tiada sijil?
CIAST sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat terutama dalam membantu mereka meningkatkan sosio-ekonomi.
Bagi tujuan ini kursus dan latihan kemahiran bersesuaian ditawarkan dalam bidang teknikal seperti automotif, komputer, elektronik, kimpalan, mekatronik dan pengeluaran.
Kursus-kursus ini boleh dimohon melalui laman web CIAST dan jangka masa kursus antara tiga hingga lima hari.
CIAST dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) ada melaksanakan persijilan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) atau Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Bagaimana dengan pelaksanaan program turun padang ?
CIAST melaksanakan promosi ke pusat-pusat latihan awam dan swasta bagi me-nerangkan program-program yang ditawarkan.
Tidak ketinggalan menyertai program pameran dan karnival anjuran agensi kerajaan dan swasta bagi menguar-uarkan maklumat kepada masyarakat.
Difahamkan ada program khusus untuk memberi pendedahan kemahiran kepada warga Shah Alam? Boleh jelaskan.
Karnival Skills Malaysia CIAST diadakan pada setiap tahun.
Pada 30 September hingga 2 Oktober lalu, CIAST menjadi tuan rumah Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), Pertandingan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) dan Pertandingan WorldSkills Junior. Pada karnival tersebut juga diadakan Seminar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Skills Malaysia 2018.
Apakah harapan CIAST pada masa hadapan?.
CIAST sebagai pusat pengajar beriltizam untuk memperkasa tenaga pengajar TVET dengan meningkatkan kepakaran mereka di institusi kemahiran dan di sektor industri itu sendiri.
Kami juga berhasrat membudayakan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelatih dan pengajar.
Dalam masa sama, lebih ramai pereka dan pencipta dilahirkan dalam pelbagai bidang berkaitan TVET selaras perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.











