MEXICO BEACH, Florida – Ketua Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan, Brock Long menyifatkan kemusnahan akibat Taufan Michael adalah yang paling buruk pernah disaksikannya.
Beliau berkata demikian semasa melawat beberapa buah bandar terjejas di kawasan semenanjung yang dikenali sebagai Florida Panhandle.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang untuk melawat Florida dan Georgia bagi melihat sendiri usaha pemulihan di dua negeri berkenaan. Trump mengisytiharkan darurat bencana di Georgia lewat kelmarin.
Di bandar Mexico Beach yang musnah dibadai Taufan Michael, pekerja-pekerja penyelamat dengan bantuan jentera pengorek dan jentera berat lain mengalihkan papan tanda yang pecah, kaca serta serpihan lain kelmarin dalam usaha mencari mangsa yang hilang.
Jumlah kematian akibat bencana itu dari Florida sehinggalah ke negeri Virginia kekal 17 orang, dengan hanya satu kematian disahkan setakat ini di bandar Mexico Beach yang didiami oleh kira-kira 1,000 penduduk. Bandar itu terjejas teruk akibat Taufan Michael yang membawa angin selaju 250 kilometer sejam pada minggu lalu.
Datuk Bandar Mexico Beach, Al Cathey menganggarkan seramai 250 penduduk berlindung di rumah masing-masing ketika ribut itu melanda dan beliau berharap agar mereka selamat.
“Jika kita hanya kehilangan satu nyawa, bagi saya itu suatu keajaiban,” kata Cathey.
Beliau berkata, makanan dan air mencukupi telah dibawa masuk untuk penduduk yang berada di bandar tersebut. Malah, sebahagian daripada perkhidmatan telefon bimbit juga pulih.
Empat hari selepas taufan itu melanda, sebahagian besar komuniti di Florida Panhandle menderita termasuk penduduk di bandar-bandar tepi pantai yang kecil dan bandar besar Panama.
Lebih 190,000 rumah dan premis perniagaan di Florida terputus bekalan elektrik bersama kira-kira 120,000 lagi di Georgia.
“Kita bercakap mengenai penduduk miskin, kebanyakan mereka sudah berusia dan tinggal berjauhan antara satu sama lain,” kata Senator AS, Marco Rubio di saluran NBC. – AP










